Thursday 30 June 2011

THE DAY HAS COME!..


Harinya sudah tiba. Hari yang dinanti-nanti. Bukan untuk dirai, tapi hari yang dibimbangi. Bukan menafikan realiti, tapi menidakkan sebak di hati.

30 Jun yang berbeza dari 19 tahun sebelumnya. 30 Jun yang membawa erti besar dalam jiwa. 30 Jun yang mengajar sesuatu perkara. 30 Jun, kemuncak segalanya*.

baiklah, saya tak rasa segan atau kekok untuk menceritakannya. Melangkah gagah dengan baju batik rasmi LEKAS 2011, saya masuk ke perkarangan sekolah dengan jiwa yang kental. Dalam hati berdetik, inilah..inilah kali terakhir saya memandu masuk sebagai kakitangan yang sah di kawasan ini. Menanda buku kedatangan Guru dengan perasaan yang masih sifar. Menyahut sapaan pelajar dengan wajah yang redup, kerana mereka tahu, detik ini penamatan buat saya.

inilah sekolah tempat saya menabur jasa

Di bilik guru, saya berusaha menyiapkan kerja-kerja yang belum lagi siap (kelak guru baru yang mengganti takdelah merungut pemalasnya sang za8 roslan ni). Buku Ringkasan, Fail data SPBT 4B dan 2C, Jadual Kedatangan 4B dan 2C, sukatan pelajaran, rekod bulanan dan tahunan, buku-buku rujukan. Semua dibereskan kelak tak ada suara-suara cemuhan. :-)

Saya masuk ke kelas buat kali terakhir, sempat mengajar topik pembukaan kota mekah. Tapi budak-budak dah tak serius, biasalah, kanak-kanak. Nak main je semedang. Saya bergurau senda dengan mereka, mungkin buat kali yang terakhir. Bila memandang wajah mereka, syahdu,sayu (mungkin naluri saya yang berlebihan, saya tak rasa semua guru seperti ini..huhu).

Dan tibalah masanya detik perpisahan, saya masuk ke kelas 4 Umar untuk memberi mereka helaian kertas kumal yang saya muatkan dalam sampul surat berwarna. Sebagai Kenangan. Sebagai Pesanan. Mereka menerima dengan gembira, kerana di sana tercatat no telefon saya. huhu. Dan edaran itu juga saya sampaikan pada anak-anak didik 4 Abu Bakar dan 4 Usman. Kemudian, saya sampaikan kata-kata akhir. Kata-kata yang cliche, normal, dominan, biasa untuk situasi perpisahan.

*belajar rajin-rajin
*jadi anak yang soleh
*jadi anak yang berjasa
*usaha utk berjaya dunia dan akhirat
*jangan melawan cakap ibu bapa
*jangan melawan cakap guru-guru
*JANGAN LUPAKAN USTAZ, SELAMANYA... :'(

dan, mereka mula menangis. menangis. dan menangis. Menangis bukan meratapi, saya sendiri pun tak tahu apakah maksud tangisan itu. Kerana mereka masih kanak-kanak. Yang akan menangis bila melihat persekitaran yang sedang hiba. Tapi jauh di sudut hati saya ni mengatakan, tangisan itu membawa makna yang mendalam. Saya rangkul mereka, mungkin buat kali yang terakhir. Dalam suasana hiba itu, saya teringat pesan seorang Ustazah, 'sebenarnya ketika kita sedang sedih sangat itulah waktu yang baik untuk kita berdoa, tapi kita selalu tak perasan. Selalu terlupa'.

Insan-insan inilah yang sentiasa mengaminkan doa saya tika saya mengharapkannya.
Insan-insan inilah yang sentiasa mendoakan saya mencapai hajat saya.
Insan-insan inilah yang sentiasa menyambut saya dengan wajah nan ceria.
Insan-insan inilah yang sentiasa menghulurkan tangan memberi pertolongan kepada saya.
Insan-insan inilah yang sentiasa melambai-lambai pada saya usai sesi bersama.
Insan-insan inilah yang sentiasa mendampingi saya ketika di kelas mahupun di mana-mana.
Insan-insan inilah yang sentiasa menanyakan kepada saya, bilakah saya akan berumahtangga.

Dan insan-insan inilah, yang saya lihat mereka, punya potensi luar biasa. Yang perlu digali dan dibina. Yang mampu mencorak masa depan negara. Dengan idea-idea tajam dan kreatif mereka. Mereka adalah warga SRA Tanjung Bidara. Yang sentiasa menjadi kebanggaan saya. Kerana mereka begitu berharga. Buat saya.

anak-anak muridku Tahun 4 2011, diri ini menyayangi kalian. Menyayangi kalian sepenuh jiwa dan raga. Menganggap kalian sama seperti adik sendiri. Yang mendambakan kejayaan dari kalian. Yang mengaharapkan ingatan kalian, terhadap diri ini. Insan yang bersama kalian, sejak dari 5 januari (rabu minggu pertama) hingga hari ini, 30 Jun (khamis minggu ke24). Saya sayang kalian.