Saturday 2 July 2011

NAFAS JULAI DAN FORUM

assalamualaikum wbt. Alhamdulillah hingga hari ini kita masih dipinjamkan nyawa oleh Rabbuljalil untuk terus melayari bahtera hidup dan mengabdikan diri kepadanya. Moga-moga.

Entri ini merupakan entri sulung dalam bulan Julai ini. Dan dalam entri ini juga saya akan menceritakan perancangan dan pengharapan di bulan ini. Untuk saya. Untuk keluarga. Untuk mereka. Dan mungkin untuk anda. Julai yang saya harapkan bakal membawa saya ke dimensi baru dalam hidup. Hendaknya.

Saya bangkit dari tidur awal Julai ini (jumaat) dengan satu perasaan yang lain dan mungkin baru. Kerana itulah pengharapan saya. Saya ada terbaca entri dalam blog rakan, yang mana di ambang Rejab ini, kita patut sedar, apakah amal-amalan sunat Rejab telah kita lakukan atau tebazir begitu sahaja. Ya, saya adalah mereka yang telah menghabiskan Rejab 1432H ini begitu sahaja, kerana terlalu leka. Leka dengannya.

Seperti biasa, fardhu ain bagi kaum lelaki untuk menunaikan solat Jumaat, saya ke Masjid Qariah awal sedikit dari sebelum-sebelumnya (kerana hari ini tersiap awal). Mendengar khutbah (tajuk pendidikan olahan MAIM). Dalam sesi itu, saya cuba mencari 'harapan' hari ini. Usai solat, saya bergerak keluar dari masjid untuk pulang. Dan berhampiran pintu keluar, saya melihat anak murid saya, menanti saya dengan senyuman. Untuk bersalam dengan saya. Dan itulah 'harapan' saya hari ini. Berjumpa dengannya. Jujurnya, saya merindui mereka walau belum genap 24 jam kami berpisah. Saya tidak akan penat, dan tidak akan malu untuk menyatakan ia. Satu perasaan yang tidak orang lain faham dengan mudah. Kecuali mereka yang melalui. Dan mengalami.

Itu memoir yang sedia terlipat dalam lipatan hidup. Dan Julai ini. Penuh dengan perancangan dan harapan. Yang perlu dilaksanakan. Dan dijayakan.

4-6 Julai : Pertandingan Forum Kebangsaan (moga mereka membawa impian yang kandas)
15 Julai : Keputusan UPU (moga yang terbaik buat saya dan rakan-rakan)
15-20 Julai : Interschool Debating Championship (moga mereka belajar untuk menjadi hebat)
17 Julai : Pertunangan kakak saya (moga mendapat berkat dan jodoh yang rahmah)
19 Julai : Harinya (moga saya berjumpa denganNya, dengan jiwa yang qasad padaNya)

itulah perancangan / aktiviti / ketetapan yang disertakan dengan harapan. Yang tinggi. Dan dikepilkan tawakkal. Kepadanya. Moga dipermudahkan.

NOKTAH.

Dan seterusnya, seperti yang tercatat pada tajuk entri kali ini. FORUM!. Ia, Pertandingan Forum Remaja. Yang pernah saya dan rakan-rakan sertai sehingga di peringkat tertinggi (kebangsaan). Pertandingan ini anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Dan suka saya nyatakan, tahun ini merupakan tahun keempat berturut-turut SMKA Sultan Muhammad mewakili Melaka ke Peringkat Kebangsaan. Dan kami dibimbing oleh Guru Cemerlang Bahasa Melayu Negeri Melaka, Pn Hajah Radiah Yusof.

Bermula dari tahun 2008, kami berjaya mendapat tempat ketiga. Tahun 2009 sekadar berjaya di peringkat separuh akhir.Tahun 2010 mencatat kejayaan tertinggi buat masa ini iaitu Naib Johan Kebangsaan dan Anugerah Pengerusi Terbaik. Dan tahun ini, Johan (harapan dan harapan) insyaALLAH!.

Saya bukan sekadar hendak menyatakan kejayaan pasukan dari sekolah kami, tapi saya ingin menceritakan, uniknya pertandingan ini. Mewah. Gah. Hebat. Para peserta akan mengahafal teks masing-masing untuk dipersembahkan dalam babak pertama. Dan dalam babak kedua, para peserta akan diberi soalan spontan yang perlu dikupas dalam tempoh 4 minit dengan tiada pengulangan isi. Babak ini merupakan babak yang kritikal (sama seperti debat). Yang memerlukan kefahaman yang jitu terhadap tajuk. Dan daya pengupasan idea yang bernas. Fakta.

Dan tahun ini, misi kami dan misi mereka. Menggalas harapan dan cabaran untuk menyambung perjuangan misi yang tertunggak selama 4 tahun iaitu Johan Kebangsaan buat kali kedua selepas 1993 (kali terakhir).

Mampukah mereka?, Ya.
Bersediakah mereka?, Ya.
Hebatkah mereka?, Ya.
Berjayakan mereka?, InsyaALLAH!.

Moga Julai ini, membawa beribu erti, buat diri ini, dan mereka yang menghadapi. Ya Rabbul Izzati, kabulkan permintaan hambamu ini. Amin.