Wednesday 13 July 2011

KELAS MENGAJI TERAKHIR

13 Julai 2011, antara hari penuh sejarah dalam diri saya apabila hari ini merupakan hari terakhir saya sebagai tenaga pengajar kelas mengaji al-quran di Masjid Tanjung Bidara. Satu pengalaman baru dalam diri saya, kerana ini kali pertama saya mengajar orang mengaji tapi keadaan dan pengalamannya sama seperti ketika saya menjadi naqib di sekolah dahulu yang mana sorang baca sorang jaga. Pun begitu, saya bukan sekadar mengajar malah turut belajar dalam kelas tajwid setiap rabu. Mana-mana hukum tajwid yang kurang saya fahami satu ketika dahulu dapat jugak saya recall satu persatu apabila ustaz menerangkan kepada anak-anak muridnya termasuklah saya.

Saya teringat pada kata-kata ALLAH swt dalam kitabnya yang mafhumnya ; 'sebaik-baik insan adalah yang belajar al quran dan mengajarkannya'. Ayat ini saya pegang apabila dipelawa untuk mengajar dan saya mengharapkan ini adalah medan untuk saya mengasah kemahiran quran saya. Dan sedikit sebanyak sepanjang 2 bulan setengah saya mengajar ini, dapatlah saya memahami beberapa hukum-hukum baru dan lama. Alhamdulillah. Moga apa yang saya lakukan diterima tuhan dan mendapat rahmat dan berkatnya. InsyaALLAH!.

Dan memandangkan hari selasa minggu hadapan saya akan berangkat mengerjakan ibadah umrah, maka minggu ini adalah minggu terakhir saya berkhidmat. Dan ketika bersalam-salaman usai solat isya tadi, saya menyentuh bahu tiap-tiap seorang anak murid saya kerana mungkin inilah kali terakhir saya menyentuh mereka sebagai seorang pengajar. Saya tidak memaklumkan kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir kerana bimbang 'situasi' hari terakhir di sekolah berulang. Bukan pada mereka, tapi pada saya. huhu.

Dan di akhir perbualan saya dengan Ustaz, beliau ada mengatakan, jika ada kelapangan datanglah menjenguk dan membantu. Hati saya mengatakan, ya..saya pasti akan ke sini, kerana inilah medan saya bermuhasabah diri, dan mencari tujuan sebenar hidup ini. Saya melangkah keluar masjid dengan hati yang hiba, dan penuh pengharapan kepada rabb, moga ini permulaan buat diri ini untuk menjadi lebih baik lagi. Dan saya sendiri bertanya pada diri ini, bilakah saya akan menerima peluang permata seperti ini lagi?. Wallahu taala aa'alam.

Akan saya kenang pengalaman ini sepanjang hidup saya. Tiada insan-insan lain yang memanggil saya dengan gelaran 'Ustaz' melainkan warga Tanjung Bidara. Dan moga saya benar-benar menjadi seperti yang dimaksudkan panggilan mereka. InsyaALLAH!.