Thursday 7 July 2011

KEMATIAN GURU KEHIDUPAN



"tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan kedalam syurga, maka sesungguhnya ia telah beruntung. Dan kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdayakan." (surah ali imran : 3 : 185)

Mati itu pasti. Yang dijanjikan ALLAH dalam kitabnya. Buat sekalian ciptaannya yang diberi pinjam nyawa. Bahawa sekalian dari kita akan melalui fasa alam yang berbeza-beza. Bermula dari Alam Roh, Ke Alam Nyata yang penuh dengan tipu daya. Seterusnya ke Alam Barzakh yakni perantara ke satu Alam Samiyyat sementara menunggu hari kebangkitan. Dan pengakhirannya ialah Alam Akhirat, yang kekal, samada menerima nikmat atau azab seksa yang dijanjikan Allah Azzawajalla.

Saya terpanggil dan tertarik untuk menghasilkan entri ini kerana hari ini merupakan hari genap 7 Tahun bapa saudara saya meninggalkan dunia ini. Dan hari ini juga saya baru sahaja kehilangan Datuk saudara belah ibu yang menderita sakit barah pada jam 2.45 pagi tadi. Semoga roh allahyarham Paklang dan Tokngah dicucuri rahmat illahi dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat pandangan rahmah daripadanya. Amin.

Benar, kematian itu guru kehidupan. Yang mengingatkan kita bahawa kematian itu semakin dekat dengan kita. Apabila imam membacakan talkin, ia menginsafkan, dan bertujuan memberi peringatan, kepada sekalian manusia yang masih menjalani kehidupan. Namun adakah kita bersedia?, dan sudah cukupkah amalan kita untuk dibuat bekal menghadapnya?, sudahkah kita berbakti sehabisnya kepada kedua orang tua?, dan cukupkah segala amal kebajikan yang kita lakukan sepanjang kita dipinjamkan hayat?. Kita sendiri yang mampu menjawabnya. Saya bukan alim ulama untuk berbicara tentangnya, saya bukan orang arif untuk membahaskannya, saya bukan siapa-siapa untuk bertanya berkaitan dengannya. Tapi saya adalah insan biasa, yang ingin mengingatkan diri ini, dan mungkin kalian bahawa kita perlu sentiasa mengingati mati. Dan moga ingatan kita itu akan membawa kita kepada rahmat dariNya. InsyaALLAH.

"man kaana akhirul kalamihi La Ilaha Illallah, dakhala jannah"
'barangsiapa yang mengakhiri kalimahnya dengan kalimah Lailahaillallah, maka dia akan memasuki syurga'

moga ia menjadi kalimah terakhir kita di dunia ini. Moga kubur kita kelak diluaskan Allah. Moga kubur kita kelak dijadikan lubang-lubang dan taman-taman syurga. Moga kita dijauhkan dari seksa sakaratul maut. Moga kita dijauhkan dari seksa kubur. Moga kita dibangkitkan dengan kecintaan kita. Dan moga kecintaan kita itu akan membawa kita ke syurga. Dan bukan sebaliknya. Allahumma aamiin bi jaahi sayyidil mursalin. amin ya rabbal alamin.