Tuesday 5 July 2011

UNDANG-UNDANG..hendak seribu daya


UNDANG-UNDANG : LAW : QANUN

Perkataan keramat bagi diri saya sejak dari tahun 2007 dan mungkin lebih awal lagi. Sebenarnya, cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang pengamal undang-undang. Ini didorong oleh keterlibatan saya mewakili sekolah dalam pertandingan koakademik yang menjadikan saya seorang yang banyak cakap, suka bercakap, tak henti bercakap, tak habis bercakap. Saya pasang cita-cita untuk menjadi seorang peguam sejak saya berada di tingkatan 4 lagi kerana saya memandang bidang ini sebagai satu tahap professionalisme yang eksklusif. Dari mata saya.

Ketika di tingkatan 4, saya masih berangan dan terus berangan. Kalau orang tanya nak jadi apa besar nanti, saya kata nak jadi lawyer. Action. Macam pandai sangat. Walhal tak ada sebarang usaha yang saya lakukan untuk kearah itu. Belajar malas. Sama ketika di tingkatan 5. Tak banyak yang berubah situasinya. Namun cita-cita saya tetap sama, usaha kearahnya juga sama. Itulah saya. Sehinggalah keputusan SPM dikeluarkan pada tahun 2009, saya terhempap dengan 'hasil' usaha saya sendiri. Yang tak seberapa, dicampur dengan dosa dan noda. Lalai, Leka dan sebagainya. Saya terpukul tapi saya tak bercadang untuk tersungkur (walau sedikit tapi saya bersyukur).

Selepas itu, saya 'Melangkah' masuk ke Tingkatan 6 di sekolah yang sama, tapi saya datang sebagai Zaid dari dimensi yang berbeza. Dari mata saya. Saya datang dengan keazaman yang berbeza jika dibandingkan ketika SPM dulu. Ya, kali ini saya ingin berjaya. Dan saya ingin berusaha untuk mengejar cita-cita saya. Selagi saya mampu dan diizinkannya. Dengan dorongan dan semangat dari keluarga, sudara mara dan sahabat handai. Yang mendambakan kejayaan saya. Bersama rakan-rakan yang sejak di Tingkatan 1 lagi, Kami melangkah bersama, jatuh bersama, makan bersama, tidur bersama, puasa bersama, gelak tawa bersama, solat bersama, berjalan-jalan bersama, masuk pertandingan bersama, memegang jawatan-jawatan penting bersama, jumpa adik angkat bersama :-) , meletakkan impian dan harapan yang menggunung bersama, berusaha kearahnya bersama, ingin berjaya bersama, dan mencapai keputusan STPM yang cemerlang bersama. Dan Alhamdulillah, berkat doa, usaha dan rezeki yang ditetapkan Allah untuk saya, saya berjaya mendapat 5 prinsipal dengan PNGK 3.67 (walau sedikit tapi saya bersyukur).

Tapi, itu masih belum melayakkan saya untuk 'melangkah' kearah bidang itu. Saya masih ada 1 masalah besar, iaitu MUET yang tak melepasi syarat khas yang ditetapkan. Iaitu perlu mendapat tahap 4 (band 4) sedangkan saya hanya mendapat Band 3 bagi ujian kali pertama. Saya ambil sekali lagi, bersama 10 rakan yang lain yang ingin mengubah keputusan. Namun tetap di tahap yang sama iaitu Band 3 cuma kali ini markah berbeza dan berlaku sedikit peningkatan. Tapi kalau nak diikutkan, markah itu masih jauh untuk saya capai ke tahap 4. Tak mengapa, saya cuba lagi. Untuk kali yang ketiga, disokong penuh oleh kedua ibu bapa saya, keluarga, saudara mara, kenalan rapat, sahabat handai serta warga sekolah tempat saya mengajar. Kali ini sebagai calon persendirian di tempat yang baru, dengan persekitaran yang baru, semangat yang sama, dan usaha yang baru. Usaha yang sedikit ringan. Namun alhamdulillah, berkat doa, usaha dan rezeki yang ditetapkan Allah untuk saya, saya berjaya mendapat Band 4 yang saya idamkan dan saya harapkan (walau sedikit tapi saya bersyukur).

Kini, saya melepasi semua syarat-syarat khas yang ditetapkan untuk melayakkan saya memohon kursus tersebut. Persoalannya, adakah saya akan diterima masuk sedangkan saya tidak layak pada peringkat awalnya?. Adakah pakej keputusan saya sudah cukup untuk meletakkan saya dalam sorotan pemohon-pemohon yang akan diterima masuk?. Saya tidak mampu menjawabnya, kerana ini semua adalah percaturan tuhan, dan saya sebagai hambaNya hanya mampu berdoa, dan terus memohon kepadanya. Agar cita-cita dan harapan saya, keluarga, anak-anak didik saya yang sentiasa mendoakan saya tercapai. Supaya saya menjadi Seorang Pengamal Undang-undang kelak. Amin insyaALLAH!.

Sebenarnya, entri kali ini, saya bukan bertujuan untuk menceritakan kejayaan saya dalam peperiksaan STPM ,MUET dan sebagainya. Tapi saya ingin mengatakan bahawa, sekali kita gagal, tak bermakna kita sudah tidak punya masa depan yang mungkin baik. Dan setiap usaha yang kita lakukan sama seperti kita sedang mendaki, untuk sampai ke puncak. Samada kejayaan atau sebaliknya. Semuanya bertitik tolak dari kita, sejauh mana kita idamkan sesuatu, dan sejauhmana kita perlukan sesuatu itu. Dan apakah usaha kita kearah itu. Sesungguhnya Allah sentiasa memperkenan hajat hamba-hambanya. Dengan usaha yang istiqamah dari hambanya. InsyaALLAH!.

*terima kasih yang tak terhingga kepada My Teacher, Pn Roslina Abd Latiff, rakan saya Norakram Julaini dan Abg Hazwan Lazid atas usaha membuat surat semalam. Jasa kalian hanya mampu dibalas oleh Tuhan. Terima kasih juga buat keluarga, rakan-rakan, anak didik serta kenalan yang mendoakan kejayaan saya dan moga ia menjadi kenyataan. aminn!.