Sunday, 10 July 2011

Minggu Bahasa dan Debat MRSM Se-Malaysia 2011

Gah nya tajuk ini ialah dari 3 elemen. Pertama karnival bahasa, kedua melibatkan para pelajar Maktab Rendah Sains MARA, dan yang ketiga ialah semalaysia (peringkat kebangsaan). Saya amat tertarik dengan penganjuran aktiviti seumpama ini kerana ia merupakan wahana memartabatkan kedaulatan bahasa Melayu dan meningkatkan keupayaan dan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris serta memupuk kemahiran berkata-kata yang tak ramai ada serta membina keyakinan diri dan banyak lagi. Berlangsung di MRSM Alor Gajah dari 7 hingga 11 Julai 2011, saya bersama sepupu yang juga Teammate/Jurulatih saya dalam debat ketika di sekolah membawa adik-adik pasukan debat yang baru untuk melihat sendiri penganjuran dan mengambil informasi-informasi penting dan berguna sebagai bekalan sebelum menyertai pertandingan debat antara sekolah minggu hadapan.

Penganjurannya saling tak tumpah seperti penganjuran Debat Antara Sekolah (interschool) UIAM. Diberi senarai tajuk yang pelbagai, 3 akan dipilih mengikut kategori, kemudian ditetapkan sidang tempat mereka berdebat, kuarantin selama setengah jam, pelaksanaan mengikut sistem liga dan kalah mati. Saya kagum dengan pihak penganjur yang memastikan kelancaran aktiviti dan kagum dengan sikap pelajar MRSM yang kreatif, kritis dan proaktif. Aktiviti-aktiviti seumpama ini kerap dilakukan oleh bahagian Sekola Berasrama Penuh / Kluster dan juga JK Pendidikan MARA.

Ketika saya bersekolah dahulu, saya masih ingat, antara karnival-karnival yang melibatkan pelajar-pelajar SMKA adalah seperti ikhtifal SMKA yang di dalamnya ada dianjurkan kuiz bahasa arab, kalimatussobah, hafazan alquran, qiraatus sab'ah, kuiz kemahiran alquran dan sebagainya. Selain itu, ada juga dianjurkan Hari kecemerlangan sukan SMKA mengikut zon (utara,tengah,timur,selatan,barat). Ada juga Mahrajan Peringkat kebangsaan yang melibatkan sukan-sukan sunnah. Ada juga Nadwah Kepimpinan Islam samada di peringkat negeri atau peringkat kebangsaan. Dan semua aktiviti ini berteraskan lunas agama.

Tapi agak jarang atau saya rasa tak ada langsung pertandingan-pertandingan koakademik bahasa sepertimana Minggu Bahasa MRSM ini. Atau mungkin Bahagian Pendidikan Islam dan Moral (BAPIM) kurang berminat untuk menganjurkannya kerana lebih menumpukan kepada pembinaan insan yang kaya dengan ilmu ukhrawi. Tapi saya rasa kita boleh pelbagaikan aktiviti contohnya debat kefahaman islam, forum hal ehwal islam, kuiz tasawwur dan sebagainya. Bermakna, dalam pada misi membentuk pelajar yang kaya dengan ilmu ukhrawi akan seimbang dengan penguasaan pada kemahiran ilmu bantu seiring dengan tuntutan semasa. Kan?.

Mengikut pandangan saya, Pembinaan modal insan untuk mencapai kelas pertama tak boleh hanya tertumpu kepada mengejar kejayaan akademik semata-mata. Sebab ketika saya mencari bahan untuk debat satu ketika dahulu, ada artikel menyatakan ilmu bantu atau softskills itu perlu diseimbangkan penggunannya demi mencapai modal insan kelas pertama. Dan hal ini kita dapat lihat, sekolah-sekolah berasrama penuh lebih didedahkan dengan budaya-budaya elit agar produk mereka akan berkualiti dan laku di pasaran seiring misi dan harapan kerajaan. Mengapa tidak SMKA?, kerana produk SMKA itu kalau digembeling potensi mereka sehabis baik, ia akan menjadi produk yang berkualiti dari aspek duniawi / ukhrawi. Kan?.

Harapan saya mudah, mana yang kurang kita harap dapat ditambah, mana yang lebih kita harap dapat mencurah. Usah ditambah air di tempayan yang sudah penuh, sebaliknya curahkan air itu di tempayan yang masih kurang. Agar tempayan yang kurang itu juga boleh penuh seperti tempayan yang lagi satu. Maka tak akan wujud ketidakseimbangan pada masa akan datang. Saya pasti ini juga harapan semua orang yang merasai kekurangan apabila dibandingkan pada mereka yang mendapat berlebihan demi kebaikan dan kemaslahatan semua orang dan semua pihak. InsyaALLAH!.